Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksKesedaran Keselamatan


Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN) sentiasa terbuka kepada usaha untuk menyampaikan taklimat kesedaran keselamatan ke sekolah-sekolah, masyarakat dan jabatan serta organisasi apabila terdapat permohonan atau jemputan.  Sehubungan dengan itu, Community Outreach Program (COP) JKDN telah ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2011 khusus sebagai maklumbalas jemputan dari Kementerian Pendidikan untuk ikut serta dalam Forum Sinar, iaitu program kesedaran keselamatan bagi pelajar tahun tujoh (07) yang pada lazimnya dijalankan selama lima (05) bulan setiap tahun. Semenjak itu, JKDN telah menyertai setiap sesi Forum Sinar yang dianjurkan.

Dengan penubuhan COP dan hotline 133 JKDN, pendedahan JKDN kepada orang awam telah meningkat dan JKDN telah menerima lebih banyak jemputan untuk menyertai program-program kemasyarakatan Jabatan-Jabatan lain seperti 'Program Awasi Anak Kitani' dan 'Program Perkampungan Sivik Lepasan Ijazah' anjuran Jabatan Penerangan. Selain itu, terdapat juga jemputan dari Jabatan-Jabatan Kerajaan selainnya bagi menyampaikan taklimat kesedaran keselamatan semasa induksi pegawai dan kakitangan yang baru berkhidmat. Jemputan seperti ini tidak terhad kepada jabatan-jabatan Kerajaan sahaja tetapi juga telah diterima dari pihak swasta seperti Royal Brunei dan juga institut-institut pengajian tinggi semasa orientasi pelajar baru bagi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB) and Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA). JKDN sentiasa terbuka untuk menerima jemputan-jemputan bagi menyampaikan taklimat dan juga bagi menyertai jerayawara dan pameran memandangkan ianya merupakan cara yang mudah untuk berinteraksi dengan orang ramai dan menyebarkan kesedaran keselamatan.  Kini JKDN telahpun berjaya mengungkayahkan program ini selama lebih kurang 70 taklimat, pameran dan jerayawara setahun. 

Selain daripada program dalam negeri, JKDN telah memperluaskan usaha-usaha untuk mendidik orang awam mengenai kesedaran keselamatan dengan mengadakan perjumpaan dengan pelajar-pelajar Brunei yang berada di United Kingdom; Cairo, Egypt; Kuala Lumpur, Malaysia; and Melbourne, Australia semasa pegawai-pegawai JKDN berada di negara tersebut atas penugasan rasmi.

Dalam usaha menyesuaikan nama program dengan tugas-tugas yang dilaksanakan oleh pegawai-pegawai COP JKDN, nama komiti ini telah diubah ke Komiti Kesedaran Keselamatan (SAC) pada tahun 2016/2017.